Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.

Profil Korporat

Latar Belakang
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia atau lebih dikenali sebagai MTIB adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab dalam menerajui dan memajukan industri perkayuan negara. MTIB berperanan sebagai penyelaras dalam merangka polisi dan strategi bagi membangunkan industri perkayuan negara supaya ia berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Penubuhan
MTIB ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) 1973 [Akta 105]. Akta ini adalah sebuah Akta Persekutuan Malaysia yang dibuat pada 1 Jun 1973 yang merupakan satu pertubuhan perbadanan atau sebuah agensi badan berkanun persekutuan di bawah naungan dan seliaan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK). Bagi memastikan MTIB terus menjadi agensi peneraju dalam pembangunan industri perkayuan negara, Akta 105 telah melalui satu pindaan secara menyeluruh pada tahun 2010 dan seterusnya telah dikuatkuasakan melalui penyiaran dalam Warta Kerajaan pada 15 Mac 2011.

Visi
Menjadi agensi terunggul dalam menjana pembangunan industri perkayuan yang berdaya saing.

Misi
Untuk memantapkan lagi pertumbuhan industri perkayuan secara mapan melalui pewujudan persekitaran yang kondusif dan perkhidmatan berkualiti yang berterusan.

Dasar Kualiti
Kami adalah komited kepada perkhidmatan berkualiti untuk pelanggan-pelanggan kami dengan standard profesionalisme yang tinggi.

Piagam Pelanggan MTIB
  1. Memastikan kelulusan permohonan pendaftaran baru bagi aktiviti industri kayu, siap dalam tempoh 3 hari bekerja daripada tarikh  permohonan lengkap diterima
  2. Memastikan kelulusan permohonan pembaharuan  pendaftaran, siap dalam tempoh 2 hari bekerja daripada tarikh permohonan lengkap diterima
  3. Memastikan setiap permohonan lesen eksport dan import yang lengkap, diproses secara atas talian (online) dalam masa 30 minit
  4. Menjalankan perkhidmatan pemeriksaan fizikal kayu untuk dieksport, dalam tempoh 1 hari bekerja bagi permohonan lengkap yang diterima
  5. Memastikan Perkhidmatan Verifikasi Kayu (TVS) selesai dilaksanakan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas permohonan lengkap diterima
  6. Memastikan setiap tuntutan bayaran yang lengkap diterima dijelaskan dalam tempoh 12 hari bekerja
  7. Memberi maklumbalas kepada semua pertanyaan industri dalam tempoh 2 hari bekerja
  8. Memberikan perkhidmatan berkualiti, cekap dan mesra.

Objektif

Selaras dengan tugas-tugas yang telah ditetapkan kepada MTIB melalui Akta 105 Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) 1973, Lembaga ini telah menentukan beberapa objektif penting seperti berikut:-
  1.  Memajukan lagi perusahaan kayu kayan dan meningkatkan taraf dengan penekanan ke atas pemprosesan nilai tambah
  2.  Menggalak dan memperbaiki kaedah pemasaran keluaran kayu
  3.  Membantu dan mengukuhkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana
  4.  Menggubal dan menggalakkan aplikasi standards dalam pembangunan kayu
  5.  Memupuk semangat disiplin dalam perusahaan kayu-kayan

Fungsi
 
Dalam usaha untuk menyelaras dan mengawal industri dan perdagangan kayu-kayan supaya industri akan dapat berkembang dengan majunya dan selaras dengan Seksyen 12 (1), Akta 105, bidang tanggungjawab MTIB telah diperluaskan dengan tugas-tugas berikut:-
  1.  Mengawal selia dan mengawal perdagangan dan pemasaran dan pengedaran kayu;
  2.  Memajukan dan membaiki perdagangan dan pasaran kayu;
  3.  Menyelaraskan aktiviti bagi pemasaran dan perkapalan kayu yang berkesan;
  4.  Menggalakkan penggunaan yang berkesan bagi kayu dengan menitikberatkan kepelbagaian keluaran dan memajukan pembaikan dan  ekonomi dalam cara memproses kayu;
  5. Mengadakan perkhidmatan nasihat teknikal dan latihan yang dikehendaki untuk membantu dalam pembangunan perindustrian kayu yang sedia ada dan dalam penubuhan perindustrian baru;
  6. Membantu perindustrian kayu dalam pemasaran kayu;
  7. Menyusun dan membantu penyatuan perindustrian kayu secara kecil dan mengintegrasikan dengan lebih erat aktiviti perindustrian kayu pada amnya, supaya mencapai kecekapan yang lebih baik, dan mendapatkan asas yang lebih kukuh untuk perindustrian kayu keseluruhannya;
  8. Mengumpulkan maklumat dan menyenggarakan rekod bagi segala perkara yang berkaitan yang berhubungan dengan perindustrian kayu;
  9. Melaksanakan dasar dan program pembangunan untuk memastikan peningkatan dan daya maju perindustrian kayu di Malaysia;
  10. Memajukan usahawan Bumiputera dalam perindustrian kayu supaya lebih berdaya saing;
  11. Melaksanakan kawalan dan memantau eksport, import, kayu dalam transit dan pasaran dalam negeri;
  12. Menjalankan penyelidikan, kajian semula dan penyiasatan, yang berfaedah kepada atau sesuai dengan pelaksanaan fungsi-fungsinya;
  13. Membangunkan dan mengkomersialkan dapatan penyelidikan bagi manfaat perindustrian kayu dan menggalakkan penggunaan dapatan penyelidikan secara komersial;
  14. Menggalakkan dan membangunkan aktiviti ladang hutan bagi maksud pembangunan perindustrian kayu dan apa-apa aktiviti lain yang berkaitan dengan pembangunan ladang hutan;
  15. Merancang dan menjalankan program pembangunan sumber manusia selari dengan pembangunan perindustrian kayu;
  16. Berhubung dan menyelaraskan dengan Kerajaan Negeri yang berkaitan dan badan-badan lain, termasuk anggota mana-mana persatuan di dalam dan di luar Malaysia, demi kepentingan perindustrian kayu; dan
  17. Pada amnya, untuk melakukan segala-galanya mengikut ruang lingkup objektif Akta ini bagi pembaikan dan perjalanan perindustrian kayu yang sepatutnya.

Dalam menunaikan fungsi-fungsinya, MTIB berkuasa untuk:-
  1. Untuk membuat apa-apa rundingan dan perjanjian atau perkiraan sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Lembaga bagi melaksanakan fungsinya dan bagi memajukan kepentingan am perindustrian dan perdagangan kayu;
  2. Untuk menjalankan pemasaran kayu bagi pihak perindustrian kayu secara kecil;
  3. Untuk menubuhkan dan menyenggarakan apa-apa establismen sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Lembaga bagi menunaikan fungsinya;
  4. Untuk melantik jawatankuasa;
  5. Untuk memperoleh, memegang, melupuskan atau memberikan hak berkaitan dengan keputusan apa-apa penyelidikan yang dijalankan oleh atau bagi pihak Lembaga, atau berkaitan dengan keputusan apa-apa penyelidikan yang dijalankan oleh mana-mana orang atau organisasi bagi pihak Lembaga;
  6. Untuk menugaskan mana-mana orang atau badan untuk menjalankan penyelidikan atau pembangunan;
  7. Untuk memberikan perakuan kemahiran berkenaan program latihan dan program yang diiktiraf oleh Lembaga;
  8. Untuk mengeluarkan lesen, perakuan, permit dan kelulusan di bawah Akta ini berkenaan dengan perindustrian kayu;
  9. Untuk menentukan standard dan spesifikasi mana-mana keluaran kayu sebagaimana yang difikirkan wajar oleh Lembaga untuk perindustrian kayu;
  10. Untuk menjalankan dan menyelaraskan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan penyelidikan dan pembangunan dalam penanaman, pengeluaran dan pengusahahasilan keluaran ladang hutan;
  11. Untuk memberi pengiktirafan dan pemerakuan skim jaminan kualiti kayu kepada mana-mana orang yang terlibat dalam pengeluaran kayu;
  12. Untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi atau organisasi yang diiktiraf di dalam atau di luar Malaysia;
  13. Untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi pembangunan keluaran kayu dan aktiviti hiliran;
  14. Untuk memberikan pinjaman, dengan atau tanpa faedah, kepada mana-mana badan, syarikat atau orang yang diluluskan oleh Menteri bagi pelaksanaan program ladang hutan atau apaapa program lain bagi maksud pembangunan perindustrian kayu;
  15. Untuk menjalankan peranan sebagai pihak berkuasa pemeringkatan; dan
  16. Untuk melakukan semua perkara yang suai manfaat, perlu atau bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya di bawah Akta 105.


Terakhir dikemaskini: 12 Oktober 2020