PERUTUSAN PENGERUSI MTIB, YBHG DATUK HISHAMUDDIN ABDUL KARIM BERHUBUNG DENGAN SITUASI PENINGKATAN PENULARAN COVID-19 KEPADA SEMUA WARGAKERJA MTIB.
Assalamualaikum W.B.T dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah MTIB, Pengurusan Tertinggi MTIB dan wargakerja MTIB yang dihormati. Saya berharap semua berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Seperti mana yang kita semua maklum, penularan pandemik COVID-19 telah menunjukkan peningkatan yang mendadak bagi tempoh beberapa hari kebelakangan ini. Kes yang dicatatkan semalam, 6 Februari 2022 adalah sebanyak 10,089 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,914,220 kes keseluruhan di negara ini.
Menurut Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, kes harian COVID-19 dijangka akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang. Ini disebabkan oleh gelombang varian Omicron yang lebih mudah dijangkiti dan gejalanya jauh lebih rendah daripada varian Delta.
Sehubungan dengan itu, saya berharap agar semua wargakerja MTIB sentiasa dapat mematuhi SOP COVID-19 yang telah ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup separuh muka, mengamalkan jarak sosial 1 meter, kerap membasuh tangan dan elakkan ke tempat yang sesak dan sempit jika tiada keperluan.
Bagi yang belum mengambil dos penggalak bagi vaksin COVID-19, adalah disarankan untuk mengambilnya secepat mungkin. Ia adalah penting bagi mengekang penularan COVID-19 yang telah membelenggu kehidupan kita semua selama dua tahun ini.
Saya berdoa agar kita semua dijauhi daripada sebarang musibah berkaitan COVID-19 dan diberikan kesihatan yang baik. Dalam menjalani tahun 2022, saya pasti kita mengharapkan keadaan yang lebih baik untuk negara. Semoga tahun ini dapat kita hadapi dengan semangat dan kekuatan yang baharu.
#kitajagakita
#kitamestimenang
#keluargaMalaysia
#kppk
#mtib
YBhg. Datuk Hishamuddin Abdul Karim
Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Perutusan Pengerusi MTIB