AccessibilityChange to default colorChange to green colorChange to blue color
  Others
Last Update: 09-09-2014 [cached @23:02]
Client's Charter & Performance In The News eResponse & FAQs

Seminar dan Pameran Komoditi Sektor Perusahaan Perladangan dan Komoditi

E-mail Cetak
  
 

- MALAY VERSION ONLY -

 

Y.B. DATO’ HAMZAH ZAINUDIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MALAYSIA

DI SEMINAR DAN PAMERAN KOMODITI SEKTOR PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    
DI SEBERANG PERAI, PULAU PINANG

25 JANUARI 2011 (SELASA)
DEWAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, PULAU PINANG

                                                                                                                   
Yang Berusaha Pengerusi Majlis,
 
Prof. Madya Mohd Zaki Abdullah
Pengarah Universiti Teknologi MARA Kampus Pulau Pinang

Tuan Haji Mokhtar Mohd Jait
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai

Encik Aknan Ehtook
Setiausaha Bahagian Peyelidikan Inovasi dan Modal Insan Industri
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Dif-dif jemputan,

Datuk-datuk,                                                            
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,  
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        
Selamat Sejahtera dan Salam Perpaduan,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan, puan-puan dan saudara-saudari sekalian ke Seminar dan Pameran Komoditi pada hari ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan atas kerjasama dan sokongan semua pihak yang terlibat, termasuk agensi-agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Universiti Teknologi MARA, Jabatan Pelajaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Belia dan Sukan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Seminar dan Pameran Komoditi yang dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ini.                                                                                              

Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,
                                                                                                                                                                                
2. Harga getah yang melambung tinggi dan harga sawit yang terus stabil dan berlegar di paras yang tinggi telah menyebabkan sumbangan sektor komoditi bertambah dihargai dan lebih ramai orang mengenali Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Agensi-agensi di bawahnya. Selain dari komoditi sawit dan getah, sektor perladangan dan komoditi juga meliputi kayu kayan, koko, lada dan sumber-sumber pertumbuhan baru seperti sago, kenaf dan jatropha. Komoditi-komoditi ini turut memberi pendapatan yang lumayan kepada para pekebun dan sumbangan yang besar kepada pendapatan eksport negara. Kerajaan sentiasa memberikan penekanan yang serius kepada sektor ini kerana ia merupakan sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar. Hasil daripada pelbagai bantuan dan insentif seperti bahan tanaman terbaik, input pertanian, tunjuk ajar yang tepat dan rangkaian pemasaran yang sempurna, sektor perladangan telah memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara. Pendapatan eksport negara dari komoditi dan produk berasaskan komoditi ini telah menghasilkan pendapatan sebanyak RM 65.3 bilion pada tahun 2005 dan jumlah ini dijangka akan mencapai RM111.5 bilion bagi tahun 2010 apabila angka rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia dikeluarkan pada bulan Februari nanti. Ini merupakan peningkatan sebanyak 59% bagi tempoh 5 tahun tersebut.  
                                                                                                                                                                                                             
Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,

3. Sektor perladangan dan komoditi mampu memberikan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2010, terdapat kira-kira 11.6 juta guna tenaga negara di mana seramai 1.3 juta (11.2%) adalah mereka yang bekerja di sektor perusahaan perladangan dan komoditi. Setiap tahun, sebilangan dari mereka ini akan bersara. Ini akan mewujudkan kekosongan yang perlu diisi. Generasi baru perlu mengambil tempat mereka untuk meneruskan pengeluaran komoditi-komoditi berkenaan. Namun pemilik-pemilik ladang atau kilang-kilang pemproses merungut mengenai kesukaran untuk mereka mengisi kekosongan tersebut dengan pekerja tempatan. Rungutan mereka ini bukan merujuk kepada pekerja atau buruh ladang, yang sememangnya amat sukar untuk diisi oleh rakyat tempatan, tetapi merujuk kepada pekerja di peringkat penyelia ke atas.

4. Oleh itu, salah satu fokus Kerajaan di bawah inisiatif pembangunan modal insan ialah meningkatkan bilangan                                                                                                                                               pekerja mahir tempatan. Pekerja yang mencukupi dan mempunyai kemahiran di bidang yang diperlukan oleh industri merupakan kunci kepada kelestarian sektor perladangan dan industri berasaskan komoditi negara. Sehubungan dengan itu, KPPK telah menubuhkan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Institute Of Malaysian Plantation And Commodities-IMPAC), sebuah institusi latihan kemahiran untuk melatih para belia bagi memenuhi permintaan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri berasaskan komoditi. Agensi-agensi di bawah KPPK menawarkan pelbagai kursus di IMPAC. Antaranya, IMPAC Cawangan LKM menyediakan Kursus Pembuatan Coklat kepada para belia. IMPAC Cawangan MTIB pula menyediakan kursus seperti Kursus Rekabentuk dan Pembuatan Perabot dan Kursus Teknologi dan Operasi Mesin Kayu. IMPAC Cawangan MPOB turut menyediakan pelbagai kursus seperti Kursus Penyelenggaraan Tapak Semaian, Kursus Operator Mekanisasi Ladang dan Kursus Latihan Pegawai Pengembangan Pengurusan Kilang. Tuan-tuan dan puan-puan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus-kursus yang disediakan oleh Agensi-agensi di gerai-gerai pameran yang disediakan atau di laman web Agensi berkenaan.

5. Sebagaimana yang saya katakan tadi, rungutan majikan bukan sahaja mengenai kekurangan pekerja di peringkat buruh, tetapi di peringkat penyelia ke atas. Ini termasuklah jawatan pengurus, mekanik, juru elektrik, ICT dan pelbagai jawatan dalam urusan pentadbiran kewangan. Bidang-bidang ini perlu diisi oleh rakyat tempatan.  Saudara-saudari harus menyahut cabaran ini. Jika tidak, majikan tiada pilihan lain kecuali membawa masuk pekerja dari luar negara. Buat masa ini wujud sebanyak 3,616 jawatan kosong di sektor perusahaan perladangan dan komoditi. Ini merangkumi pelbagai peringkat jawatan iaitu peringkat bukan eksekutif seperti Juruteknik, Penyelia Operasi, dan Juru Analisa Makmal sehingga ke peringkat eksekutif seperti Jurutera Pelatih, Eksekutif Niaga Tani dan Cadet Planters. Sesetengah jawatan ini memerlukan tahap kemahiran atau kelulusan kemahiran tertentu yang boleh diperoleh dari kursus dan latihan yang disediakan oleh IMPAC.

Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,


6. Malaysia telah terlibat dengan pengeluaran hasil tanaman komoditi ini sejak berpuluh tahun dahulu dan pernah menjadi pengeluar utama untuk getah dan kelapa sawit. Kini negara lain seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai kawasan pertanian yang luas telah mengatasi Malaysia. Namun dari segi produktiviti, kita masih lagi mendahului kedua-dua negara ini. Kita perlu menggunakan kelebihan ini untuk terus bersaing dengan negara-negara ini dan negara pengeluar lain yang sedang meningkat seperti Vietnam dan Kampuchea. Para belia perlu melibatkan diri dan mengambilalih tempat ibubapa mereka, tetapi dengan paradigma yang baru dalam pertanian iaitu dengan mengaplikasikan kaedah pertanian yang berteknologi tinggi. Mereka perlu menggunakan segala dapatan R&D yang dihasilkan oleh Agensi-agensi R&D seperti MPOB, LGM, LKM melalui pelbagai penemuan seperti klon tanaman yang berhasil tinggi dan tahan penyakit, sistem torehan berintensiti rendah untuk getah dan sistem perladangan secara integrasi (dengan tanaman lain seperti koko dengan buah-buahan atau dengan ternakan seperti getah dengan kambing atau sawit dengan lembu).

7. Adalah amat penting untuk kita menggunakan teknologi-teknologi yang dihasilkan ini kerana tanah pertanian di Malaysia adalah terhad. Generasi baru perlu terus mempelajari dan mendalami ilmu untuk meningkatkan pengeluaran hasil komoditi dengan sumber tanah yang terhad ini. Penekanan perlu sentiasa diberi untuk memantapkan sektor perladangan melalui peningkatan produktiviti, penggunaan kaedah mekanisasi bagi mengurangkan penggunaan tenaga buruh dan mengurangkan kos pengeluaran bagi meningkatkan daya saing negara. Ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kita masih boleh bergantung kepada aktiviti pertanian yang sama tetapi pendapatan kita mesti berlipat ganda. Kita tidak boleh lagi berpuashati dengan hasil 20 tan sehektar buah tandan segar sawit, kita perlu mensasarkan 40 tan sehektar. Di sinilah kita memerlukan penggunaan teknologi yang boleh diterjemahkan melalui pengenalan kepada bahan tanaman berklon, kaedah penjagaan dan pembajaan yang lebih efektif dengan kos yang murah tetapi mempunyai pulangan yang tinggi.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            
 
 Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,          
                                                                                                                                                          
8. Selain itu, kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan, sama ada untuk mengusahakan ladang tanaman komoditi atau menjalankan perdagangan komoditi seperti sawit dan getah, mereka sentiasa dialu-alukan. Agensi-agensi di bawah KPPK seperti MPOB, MTIB, LGM dan LKM sentiasa bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan, sama ada dari segi penjagaan tanaman, unjuran aliran tunai atau amalan pertanian baik yang perlu dipatuhi. Ilmu pengetahuan yang cukup melalui tunjuk ajar dari agensi-agensi yang bertauliah ini akan mengurangkan risiko kegagalan dan memastikan usahawan mendapat pulangan dari pelaburan mereka. Agensi-agensi ini juga mengeluarkan pelbagai lesen yang berkaitan untuk membolehkan orang ramai menjalankan perniagaan yang berasaskan komoditi. Ini termasuklah lesen-lesen berkaitan peniaga buah tandan segar, lesen menuai dan menjual getah dan sebagainya. Semua maklumat mengenai lesen ini boleh diperolehi dari pejabat-pejabat agensi berkenaan atau di laman sesawang mereka.

Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,

9. Menyedari peri pentingnya maklumat yang tepat disampaikan kepada orang ramai, Kementerian saya telah mengambil inisiatif menganjurkan siri Seminar dan Pameran Komoditi ini. Seminar ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai peluang kerjaya di sektor perusahaan perladangan dan komoditi. Selain dari itu, ia adalah bertujuan untuk memupuk dan menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang kerjaya di sektor perusahaan perladangan dan komoditi setelah mereka dewasa kelak.

10. Melalui seminar dan pameran yang disediakan, latarbelakang dan peluang-peluang kerjaya di sektor perladangan, termasuk di bidang agronomi, kejuruteraan dan juga keusahawanan dapat didedahkan untuk menarik minat orang ramai kepada sektor ini. Saya berharap hasil daripada Seminar dan Pameran Komoditi ini, para hadirin akan dapat memperolehi maklumat yang lebih menyeluruh dan tepat mengenai perkembangan dan langkah-langkah memajukan sektor perladangan serta peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan.

Tuan-tuan, Puan-puan dan Saudara-saudari sekalian,

11. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Seminar dan Pameran Komoditi ini. Dengan sambutan yang menggalakkan yang dapat dilihat pada hari ini, seminar ini perlu diteruskan sebagai usaha menyokong hasrat Kerajaan meningkatkan pembangunan modal insan ke tahap yang lebih tinggi di negara ini. Dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillah, saya merasmikan Seminar dan Pameran Komoditi di Seberang Perai, Pulau Pinang.


Sekian, terima kasih.

 

 

 


 

Undian

Adakah anda bersetuju bahan buangan (tunggul pokok getah) boleh menghasilkan produk inovasi?



Keputusan

Statistik Pengunjung

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari ini5606
mod_vvisit_counterSemalam6000
mod_vvisit_counterMinggu ini18148
mod_vvisit_counterMinggu lepas49396
mod_vvisit_counterBulan ini121911
mod_vvisit_counterBulan lepas210571
mod_vvisit_counterKeseluruhan12475995