A.KUOTA EKSPORT KAYU RAMIN
Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sebagai Pihak Berkuasa Saintifik CITES dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai Pihak Berkuasa Pengurusan CITES, setelah merujuk kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah bersetuju menetapkan kuota eksport bagi kayu Ramin (Gonystylus spp.) dan keluarannya sebanyak 10,000 meter padu bagi tahun 2012 untuk Semenanjung Malaysia. Kuota eksport ini adalah dikenakan kepada semua keluaran kayu Ramin termasuk “parts and derivatives”.
B. KUOTA EKSPORT PRODUK KARAS/GAHARU
Pihak Berkuasa Saintifik dan Berkuasa Pengurusan CITES juga telah menetapkan kuota eksport bagi produk Karas/Gaharu (Aquilaria spp.) dan keluarannya sebanyak 200,000 kilogram bagi tahun 2012 untuk Semenanjung Malaysia. Kuota eksport ini merangkumi produk Karas/Gaharu dan semua keluarannya seperti minyak gaharu, bahagian-bahagian pokok, kayu serpai, kayu blok/tongkolan dan kayu-kayu kepingan.
C. PROSEDUR PENGEKSPORTAN
Semua permohonan Permit Eksport CITES untuk kayu Ramin dan produk Karas/Gaharu kepada MTIB mestilah disertakan dokumen sokongan seperti berikut :
1. Salinan Asal Pas Bagi Memindahkan Hasil Hutan; atau
2. Salinan Pas Bagi Memindahkan Hasil Hutan yang disahkan benar dari Salinan Asal oleh pembekal sepertimana tercatat di atas Pas berkenaan.
Berkaitan dengan Permit Eksport CITES dan Sijil Eksport-Semula CITES, semua Pengeksport hendaklah memastikan maklumat yang diberikan adalah betul dan lengkap, terutamanya mendapatkan pengesahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau MTIB pada Blok 14 dan Blok 15 sebelum konsignasi kayu hendak dieksport atau dibawa keluar negara.
Semua Pengeksport adalah diminta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan berkuatkuasa serta-merta, bagi memastikan usaha Malaysia mematuhi peraturan dan amalan perdagangan kayu dan keluaran kayu Ramin dan produk Karas/Gaharu adalah teratur seperti yang ditetapkan dalam Appendiks II CITES.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pegawai Pelesenan MTIB En. Salleh Yusof di talian 03-9282 2235 (sambungan 1360).








