AccessibilityChange to default colorChange to green colorChange to blue color
  Others
Last Update: 16-10-2017 [cached @04:28]
  Client Charter and PerformanceIn The News

Ucapan YBTM - Perasmian Pusat Promosi Perabot dan Pusat Perkayuan Negeri Melaka

E-mail Print

 

- MALAY VERSION ONLY -

 

UCAPAN PERASMIAN

Y.B. DATO’ HAMZAH ZAINUDIN
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI
 
MAJLIS PERASMIAN PUSAT PROMOSI PERABOT DAN PERKAYUAN NEGERI MELAKA (RUMAH MELAKA)
JUMAAT, 18 MAC 2011
BUKIT KATIL, MELAKA

Terima kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis


Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam
Ketua Menteri Melaka

Y. Bhg. Dr. Jalaludin Harun,
Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Dif-dif Kehormat

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kerana menjemput saya mewakili Y.B. Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, untuk menyampaikan ucapan di majlis perasmian Pusat Promosi Perabot dan Perkayuan Negeri Melaka atau Rumah Melaka pada hari ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan di atas kesudian Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka untuk bersama-sama menyempurnakan perasmian Rumah Melaka. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kerana telah menerajui pembinaan dan penyediaan prasarana Rumah Melaka yang menampilkan ciri-ciri rumah Melaka tradisional. Saya percaya langkah ini juga akan memperlengkapkan usaha-usaha mempromosi produk-produk perabot dan perkayuan keluaran tempatan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

2. Rumah Melaka merupakan projek kerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka di mana ia dibiayai di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sebanyak RM5 juta. Tapak projek seluas 5 ekar telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka di atas kerjasama yang diberikan. Saya berharap agar hubungan rapat di antara Kerajaan Persekutuan, KPPK dan Kerajaan Negeri Melaka akan berterusan demi kelangsungan agenda pembangunan Negara.

3. Saya dimaklumkan bahawa pembinaan Rumah Melaka adalah bertujuan menyediakan sebuah pusat promosi produk-produk perkayuan yang dihasilkan oleh pengusaha Bumiputera. Selain itu, Rumah Melaka juga akan menjadi pusat persejarahan seni bina warisan silam Negeri Melaka, dan pusat rujukan perkayuan khasnya untuk sektor pembinaan, di samping menjadi salah satu destinasi pelancongan.  

4. Pada masa ini, penggunaan kayu di pasaran tempatan dianggarkan bernilai RM24 bilion setahun di mana pengguna terbesar kayu di negara ini adalah di sektor pembinaan. Walau bagaimanapun, penggunaan kayu di pasaran tempatan masih boleh diperluaskan lagi terutamanya dalam sektor pembinaan berkejuruteraan tinggi seperti pembinaan yang menggunakan struktur glulaminated timber (glulam) dan Industrialised Building System (IBS) berasaskan kayu. Potensi untuk segmen pasaran ini berkembang adalah tinggi memandangkan negara kita telah dikurniakan dengan spesies - spesies kayu yang bermutu dan sesuai untuk tujuan ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

5. Selaras dengan Dasar Perindustrian Kayu Malaysia (NATIP), yang telah dilancarkan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri pada 2009, Kementerian melalui MTIB telah mengatur strategi-strategi bagi menggalakkan penggunaan kayu di pasaran tempatan.  Salah satu daripadanya ialah menjalankan aktiviti promosi yang khusus seperti yang bakal dilaksanakan melalui Projek Rumah Melaka ini.

6. Sumbangan industri kayu kepada ekonomi negara adalah masih relevan dan signifikan. Pada tahun 2010, industri ini telah berjaya mencatat nilai eksport berjumlah RM20.52 billion, iaitu peningkatan sebanyak 5.3% dari RM19.49 billion yang direkodkan pada tahun 2009. Prestasi eksport pengusaha kayu Bumiputera juga turut meningkat sebanyak 5.5% kepada RM32 juta, berbanding tahun 2009 iaitu RM30 juta sahaja.

7. Industri kayu dan perabot tidak seharusnya bergantung kepada pasaran eksport sebagai salah satu sumber pertumbuhan utamanya. Pasaran tempatan mempunyai potensi mewujudkan kesan berganda (multiplier effect) dan mampu mengimbangi cabaran ketidaktentuan pasaran antarabangsa. Oleh yang demikian, langkah mempromosi dan mempertingkatkan penggunaan kayu kayan di pasaran tempatan merupakan langkah yang tepat dan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memartabatkan produk keluaran tempatan.

Tuan - Tuan dan Puan-Puan,

8. Keistimewaan pusat promosi ini antara lainnya ialah ia menggunakan pelbagai spesies kayu seperti kayu Keranji yang digunakan sebagai kekuda bumbung, manakala Melunak dan Meranti digunakan untuk struktur dinding. Spesis Merbau pula digunakan untuk lantai parkir, Keranji untuk pergola dan Kapur untuk kekisi tangga. Spesies kayu-kayu tersebut memiliki nilai estetika, mesra alam, selamat dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.  Dari segi kejuruteraan juga, penggunaan kayu dalam sektor pembinaan adalah kukuh dan mempunyai jangka hayat yang lama sekiranya diawet mengikut spesifikasi dan diaplikasi sebagaimana yang disyorkan.

9. Dengan gabungan rekabentuk warisan silam Negeri Melaka serta kaedah pembinaan industrialised building system (IBS), Rumah Melaka merupakan model yang unik, praktikal dan merupakan satu proof of concept bagi penggunaan kayu dalam industri perumahan arus perdana (mainstream). Ia juga merupakan platform pencetus inspirasi kepada penciptaan rekabentuk menarik bagi produk perkayuan. Untuk sentiasa berada di hadapan dalam pelbagai bidang, negara kita tidak mampu untuk terus bergantung kepada output yang tinggi (mass production) semata - mata. Inovasi dan kreativiti adalah kunci utama dalam mewujudkan permintaan yang tinggi ke atas produk - produk perkayuan tempatan dan sekaligus mewujudkan satu captive market yang menguntungkan negara.

10. Sebagai rakyat Malaysia, kita boleh berbangga dengan keunikan Rumah Melaka ini yang dijangka mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Malahan, ia juga dapat memastikan warisan seni khasnya rekabentuk rumah tradisional Negeri Melaka, dapat diabadikan untuk tatapan umum. Nilai-nilai estetika dan warisan silam jelas merupakan produk-produk pelancongan yang baik dan dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

11. Rumah Melaka juga berpotensi dijadikan hub atau pusat sehenti untuk produk keluaran syarikat Bumiputera. Sehubungan ini, Furniture Industry Technology Centre (FITEC) sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Raya (MARA), telah dilantik untuk menguruskan penjualan produk keluaran Bumiputera di pusat promosi ini. Dengan bimbingan MTIB dan FITEC, pengusaha-pengusaha perabot Bumiputera dijangka dapat memperluaskan jaringan pasaran mereka melalui penyertaan dalam aktiviti dan program yang akan dijalankan secara berkala di Rumah Melaka.

12. Saya percaya pusat promosi ini sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada pengusaha-pengusaha Bumiputera di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan untuk mempamerkan produk keluaran mereka secara strategik dan berkesan. Adalah diharapkan melalui usaha Kerajaan ini, pengusaha-pengusaha kayu Bumiputera akan terus berkembang dan berupaya untuk bersaing dalam industri perkayuan yang penuh cabaran. Sehubungan ini, prestasi eksport perabot Bumiputera sebanyak RM32 juta pada 2010 juga dapat dipertingkatkan.

13. Saya juga berharap segala perancangan yang telah direncanakan oleh semua pihak yang terlibat di dalam pengoperasian Rumah Melaka ini dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mendapatkan impak yang maksimum serta value for money untuk peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan. Usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang jitu dari semua pihak termasuk para pengusaha perabot merupakan prasyarat penting untuk kejayaan agenda pembangunan Kerajaan secara keseluruhannya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

14. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, dan semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis ini.

Sekian, terima kasih.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

18 Mac 2011

 

Polls

Do you agree that rubberwood stumps can produce innovative products?



Results

Visitor Statistics

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday3037
mod_vvisit_counterYesterday14710
mod_vvisit_counterThis week104364
mod_vvisit_counterLast week100779
mod_vvisit_counterThis month312015
mod_vvisit_counterLast month501299
mod_vvisit_counterAll days26806665